Sabtu, 12 April 2008

DEKOR Hiasan dinding beri mood, penampilan



Bingkai gambar, teknik cat, kertas dinding pelbagai corak antara tata hias menarik KEDIAMAN ibarat gambaran personaliti anda, maka sesuaikan tata hias kediaman mengikut skema penggayaan tersendiri. Dinding boleh digayakan dengan dihiasi bingkai gambar, teknik cat dan warna yang menarik, penambahan tekstur, atau dihiasi kertas dinding pelbagai corak terkini. Memandangkan dinding adalah kawasan paling besar di sesebuah ruang, pemilihan warna, tekstur dan corak akan memberikan kesan jelas kepada mood dan penampilan ruang kediaman. Hiasan bingkaiSeni hiasan bingkai sememangnya menjadi pilihan utama dalam menghias dinding kediaman. Selain penggunaan gambar atau hasil seni untuk dibingkaikan, cara menggantung serta mempamerkan bingkai dinding perlu bijak supaya hasil seni yang dipaparkan menarik dan selesa untuk dinikmati keindahannya. Hiasan dinding berciri etnik Bahan hiasan etnik pada dinding seperti tirai tingkap, bidai buluh, tingkap Bali, kain batik, songket dan sutera, anyaman fabrik tradisi masyarakat Sarawak, ukiran panel kayu awan larat, porselin, serta pedang dan keris tradisi, adalah antara ornementasi dan dekorasi dinding dari Asia yang paling digemari masa kini.
Inspirasi alam pada dinding Bahan yang digunakan untuk dinding memberi kesan kepada apa yang boleh diaplikasi padanya. Dalam sesetengah keadaan, bahan yang digunakan memberikan karektor tersendiri pada dinding, seperti penggunaan bahan sama ada batu atau kayu. Sebelum menggunakan sesuatu bahan adalah perlu untuk mengenal pasti kecantikan hakiki bahan semula jadi itu termasuk warnanya. Sebagai contoh meletakkan lapisan kayu di dinding untuk menghasilkan ruang yang hangat dan sensual. Sesetengah kayu bersifat aromatik menambahkan keindahan semula jadi serta satu pilihan dekorasi yang mengundang ketenangan. Ira kayu yang berombak sudah cukup menjadi elemen hiasan di dinding. Sebagai alternatif, anda juga boleh menggantikan penggunaan kayu dengan kemasan lamina bermotif ira kayu untuk efek tekstur yang sama. Batu juga menarik untuk hiasan kerana tekstur, warna dan jalinan corak pada batu menarik untuk digabungkan.Warna dinding penyeri suasana Warna mampu mengubah mood ruang, memberi gambaran personaliti, malah dari segi psikologi mampu membantu mengurang atau mengubati penyakit tertentu. Setidak-tidaknya mengurangkan tekanan kerjaya yang anda alami seharian di tempat kerja. Warna biru bersifat meditasi, kombinasi warna perang dan kuning cair berfungsi sebagai pengurang tekanan, hijau memberi kesan segar dan bersih manakala merah jambu memberikan sentuhan feminin. Palet warna terang sememangnya menarik perhatian. Tiada siapa yang boleh memberi tahu anda, warna mana yang betul dan salah. Jika warna merah memberikan kekuatan atau warna jingga menggembirakan anda, tidak lagi menjadi masalah walaupun warna ini dikatakan boleh membuat ruang kelihatan sedikit kecil. Lagipun warna ini adalah antara kelompok warna yang sesuai untuk kediaman berciri moden. Dinding kaca pemberi cahaya Selain menggunakan dinding daripada bahan konkrit yang keras, apa kata anda menggantikannya dengan dinding kaca yang lebih meluaskan pandangan anda. Dinding kaca boleh dipilih daripada jenis telus dan jelas, yang memberikan 100 peratus cahaya semula jadi atau pilihlah bahan dinding kaca berkabut yang menggunakan teknik sand blasting, kaca berukir yang mewah, atau kaca berwarna untuk kesan cahaya semula jadi yang berwarna-warni. Jangan lupa memasang bidai sesuai, kerana cahaya matahari yang terik memancarkan sinaran ultra lembayung boleh mendatangkan risiko kepada kesihatan jika tidak dijaga. Pelbagai kemasan pelengkap seri dinding Gaya dekorasi kertas dinding Kertas dinding adalah cara paling lama dan biasa digunakan untuk menghiasi dinding. Kelebihan kertas dinding adalah pengguna mempunyai pelbagai pilihan corak dan warna yang boleh disesuaikan dengan konsep dan cita rasa. Aspirasi jubin dan mozek Seni jubin dan mozek adalah antara gaya terkini untuk dinding dekoratif moden. Corak geometri atau organik boleh dihasilkan daripada susunan jubin dan mozek. Gunakan khidmat pakar ketika memasang seni mozek. Dengan teknologi terkini, seni jubin dan mozek dijadikan corak geometri, mural, ataupun berbentuk potret. Mozek gelas jernih dengan warna di bahagian dasarnya adalah yang popular kini. Kesan jalinan kemasan plaster Dinding yang diberikan kemasan plaster merangsang jari-jemari serta menghasilkan kehangatan yang menjadikan sesiapa saja yang melihatnya tertawan dengan keindahannya. Dengan kaedah plaster kita boleh mengeksploit dinding yang tidak rata dengan corak dan tekstur menarik, atau kita boleh menaik taraf permukaan dinding menjadi sehalus sutera ataupun dijalin di antaranya dengan tekstur kasar. Selain siling, dinding kediaman yang diberikan kemasan plaster juga kelihatan mewah dan elegan. Pengcahayaan serlah keanggunan dinding Pencahayaan antara aspek yang tidak harus dipandang ringan dalam soal menghias dinding. Dinding yang dihiasi dengan warna, ornamentasi seperti bingkai gambar, atau dinding yang diberikan kemasan tekstur kasar lebih menonjol dalam sesebuah ruang dengan batuan cahaya. Selain menggunakan lampu tumpu untuk memfokuskan sesuatu hiasan pada dinding, kesan pencahayaan juga boleh dilakukan dengan meletakkan lampu di belakang ornamentasi di dinding untuk kesan pencahayaan yang mempesonakan. INFO: Tip pamer bingkai dengan betul, menarikBingkai pemandangan - disusun serta digantung pada paras setara dengan pemandangan mata. Kesilapan besar yang sering dilakukan adalah meletakkan bingkai pada paras terlalu tinggi. Untuk ruang legar sesebuah bangunan seperti foyer, gantung bingkai pada paras mata ketika berdiri. Manakala, di ruang tamu atau di bilik menunggu, letakkan pada paras pandangan mata ketika duduk.Jika meletak gambar pemandangan dengan tujuan menarik perhatian, menjadikan ruang lebih mesra atau mewujudkan suasana lebih peribadi, rapatkan perabot dan sofa dalam bentuk kumpulan mengarah kepada bingkai berkenaan.Jika anda bercadang menjadikan bingkai yang besar sebagai titik fokal di sesebuah ruang, elak daripada meletakkan sebarang perabot di bawahnya atau apa-apa saja yang mengganggu pandangan pada imej yang dibingkaikan.Jika bingkai digunakan di bilik bersiling rendah, gantung gambar lebih kurang 4 inci di bawah paras mata berdiri bagi menampakkan ruang lebih luas.Susunan bingkai pada dinding dapat memberi kesan visual ruang anda. Sekiranya anda ingin menekankan ketinggian dinding, gunakan susunan bingkai secara vertikal linear untuk koleksi gambar anda atau sebaliknya sekiranya anda ingin menekankan kelebaran dinding, gunakan susunan secara horizontal linear.Apabila mempamerkan beberapa bingkai pada satu permukaan dinding, gunakan gambar yang mempunyai elemen-elemen yang mempunyai persamaan untuk mewujudkan keserasian.Elakkan daripada meletak satu bingkai kecil pada dinding yang luas. Susunan tiga atau lebih bingkai amat sesuai untuk dinding yang luas. Bingkai gambar seeloknya disusun dalam bentuk tidak linear namun masih tersusun secara bijak untuk menggabungkan beberapa bingkai dengan menggunakan bingkai daripada jenis yang sama. INFO: Panduan untuk menghias dindingKertas dinding dengan corak kecil dan halus tidak menyerlah dalam bilik luas dan besar.Kertas dinding dengan corak besar pula sukar diserasikan dengan bilik yang banyak pintu, tingkap dan sebagainya. Ia juga menjadikan penampilan kurang bersatu.Siling yang terlalu tinggi boleh kelihatan sedikit rendah dengan had pemasangan kertas dinding sekaki dari siling. Berikan kemasan dinding lebihan tadi seperti kemasan siling anda. Penggunaan paten berjalur horizontal juga boleh memberi kesan yang sama. Warna yang gelap pada siling dengan dinding yang cerah juga boleh merendahkan siling.Warna yang menenangkan sesuai untuk bilik tidur, berehat, membaca dan berbual. Untuk bilik yang aktif, seperti bilik keluarga, rekaan yang ketara dan warna yang terang sesuai digunakan.Guna warna dan corak yang menyerlah seperti warna garang pada ruang makan bagi memberi kesan menaikkan selera makan.Corak rekaan di dinding boleh mengubah suasana ruang. Contohnya, dinding dengan warna keemasan tampak elegan; jaluran jelas menampakkan suasana formal manakala corak yang pelbagai warna mungkin memperlihatkan suasana tidak formal.

Tidak ada komentar: